Merentasi kehidupan sebagai seorang mahasiswa yang disohorkan dengan gelaran mahasiswa, lurah- lurah serta liku- liku kehidupan kampus dalam menuju puncak kejayaan pasti dilalui. Berjaya atau kecundang itulah dua pilihan jalan yang bakal ditempuhi seorang mahasiswa itu. Namun, tiada siapa yang mengidamkan kegagalan itu dinobatkan dalam kamus hidupnya dalam perjalanan menjadikan diri seorang graduan cemerlang, gemilang dan terbilang. Penyelesaiannya, Jalan yang perlu dilalui tentulah tidak lain dan tidak bukan dengan menitipkan sahsiah atau kata lainnya adalah karektor atau lebih sinonim lagi dengan makna sifat- sifat terpuji dalam jati diri seseorang. Jati diri seperti yang diperterangkan oleh Kamus Dewan (edisi keempat, hal.613) sebagai “sifat atau ciri yang unik dan istimewa (dari segi adat, bahasa, budaya, agama dan sebagainya) yang menjadi teras dan lambang keperibadian seseorang individu, sesuatu bangsa dan sebagainya”. Jati diri apabila tidak bersulamkan sahsiah sejati, itulah yang merosakkan atau menghancurkan statusnya sebagai seorang mahasiswa. Apabila difokuskan pada kehidupan seorang mahasiswa itu sendiri, ironinya banyak aspek yang menjadi pemangkin dalam mempengaruhi pembentukan sahsiah mahasisiwa masa kini lebih- lebih lagi dalam arus gelombang pembentukan modal insan selaras dengan apa yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri kita, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam penyelarasan islam hadhari di Malaysia pada dewasa ini. Terdapat beberapa aspek yang menjadi pemangkin sahsiah mahasiswa untuk dikupas serta diterjemah dalam tajuk ini iaitu perasaan kehambaan iaitu sifat ‘abduh dalam diri kepada Pencipta, kesedaran kendiri serta pengaruh gelombang tajdid dalam pemikiran beragama yang menjadi pengaruh penting dalam membentuk sahsiah dalam diri kita yang bergelar mahasiswa bagi menjana jati diri sebenar.
Bagi aspek yang pertama iaitu perasaan kehambaan atau dalam erti kata lain sifat ‘abduh dalam diri kepada Pencipta menjadi faktor terpenting dalam pembentukan sahsiah dalam diri. Perasaan bertuhan membuatkan kita tahu jasad kita ini ditiupkan roh bukan diciptakan secara sia-sia malah, ianya adalah untuk kita tahu tujuan kita hidup di dunia fana ini. Selain daripada itu, kenal dengan yakin, bukan dengan fikiran menjadi intipati penting dalam membentuk rasa bertuhan dalam jiwa. Apabila kita telah mengenal Tuhan dengan semampunya, ini akan membuatkan jiwa kita mentadbir keseluruhan jasad membataskan tingkah laku, mendisiplinkan cara hidup seharian malah, secara tidak langsung kita dapat mempengaruhi diri kita mematuhi peraturan liku-liku kehidupan yang benar bukan bathil secara lahiriahnya. Tambahan lagi, dalam kita menyelusuri hiruk- pikuk kehidupan sebagai mahasiswa, tunduk tengadah atau istilahnya fikir secara mendalam membuat kita sedar menjadi khalifah di muka bumi ini bukan sesuatu yang boleh dianggap enteng. Menanamkan dalam diri untuk menjadi pengembara di jalan kehidupan membuatkan kita lebih mengenal Tuhan. Mahasiswa yang bakal menjadi saintis berdaya saing, penganalisis ekonomi yang bakal menyelesaikan masalah ekonomi dunia yang sarat dipengaruhi golongan kapitalisme, pendidik yang berkualiti yang bakal membentuk generasi berilmu, akauntan yang bertauliah malahan petani berinovasi yang bakal menjadikan pengeksportan bahan mentah makanan melebihi pengimportan ke dalam negara, inilah dia manusia yang bakal diistilahkan sebagai pengembara ilmu kerana mereka akan menjadi golongan intelektual yang akan memerah akal fikiran beserta keringatnya dalam mencari penyelesaian kehidupan di dunia . Perhatikan firman-Nya: “Maka tidakkah mereka menjelajah dunia sehingga terbentuk hati yang sedari dengan itu mereka dapat memahami erti hidup atau mereka benar- benar mempunyai telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya buta yang sebenar bukanlah di mata tetapi ialah hati yang ada di dada”. (al-Hajj: Ayat 46). Di sinilah terbentangnya jawapan bahawa sifat kehambaan kepada Pencipta membuatkan kita ingin mencari dan terus mencari setiap perkara yang digambarkan di depan mata. Inilah yang memantapkan sahsiah mahasiswa dalam membataskan kehidupan sehariannya.
Selain daripada itu, kesedaran kendiri juga menjadi pemangkin dalam sahsiah mahasiswa masa kini. Kendiri itu membawa kepada maksud pengetahuan, andaian dan perasaan individu pada dirinya. Kesedaran terhadap dirinya menjadi pengaruh kepada pembentukan jati dirinya. Seperti yang kita ketahui, setiap individu berbeza konsep kendirinya. Ianya merangkumi kendiri masa depan serta kendiri masa lalu. Tambahan daripada itu, sedar akan kekurangan diri dan berusaha memperbaiki merupakan salah satu kesedaran kendiri dalam diri seorang mahasiswa dalam usaha ia menetapkan jati diri dalam hidupnya. Perubahan itu bukanlah dilakukan secara mendadak tetapi dilakukan dari masa ke semasa tetapi berterusan. Rasa bodoh selepas gagal memang akan dirasai, malu pasti dilalui. Namun itulah yang menjadi titik tolak kejayaan bagi seorang mahasisiwa. Tidak ada sesiapapun yamg menginginkan jatuh buat kali ke dua. Kita adalah apa yang kita fikirkan, bukan apa yang orang lain fikirkan. Cohen (1959) ada menjelaskan, orang yang mempunyai konsep kesedaran kendiri yang tinggi dikonsepsikan sebagai orang yang menyukai atau menghargai dirinya dengan melihat dirinya berkebolehan dalam hubungan dengan dunia luar. Mereka mempunyai konsep kendiri yang rendah, melihat dirinya sebagai orang yang membenci dan tidak menghargai diri iaitu orang yang tidak berkebolehan berhubung secara berkesan dengan persekitarannya. Tambahan lagi, kesedaran kendiri dipengaruhi oleh keinginan dalam diri untuk berubah membawa kepada desakan sekeliling yang akhirnya membawa kepada matlamat atau target kejayaan yang ingin dicapai bagi kehidupan seterusnya.
Aspek seterusnya yang bakal dikupas adalah pengaruh gelombang tajdid dalam beragama yang menjadi aspek pemangkin dalam mempengaruhi sahsiah mahasiswa di era globalisasi kini. Tajdid di dalam Kamus Dewan bermaksud: “Menghidupkan kembali ajaran Rasul yang semakin ditinggalkan akibat amalan bidah” ,Kamus Dewan (edisi keempat, hal. 1347). Al-Qaradawi (1987) mengatakan tajdid sebagai: “Mengembalikan sesuatu kepada bentuk asalnya, sehingga ia menjadi baru kembali walaupun ia telah lama. Ia berlaku sama ada dengan menguatkan ia kembali ataupun menampung apa yang telah hilang daripadanya sehingga ia menjadi seperti mana ia wujud pada asalnya”.
Inilah yang dapat diolah sebagai pembaikan atau boleh dikatakan pembaharuan. Pembaharuan di sini bukanlah bermaksud membuang segala yang lama dan digantikan dengan yang baru seperti yang dibawa oleh Barat, tetapi pembaharuan di sini adalah atas dasar menegakkan perubahan atas dasar akidah atau pegangan yang dapat mencatas fahaman sekularisme daripada merasuk pemikiran kita sebagai mahasiswa yang bakal keluar sebagai graduan yang bakal merubah dunia. Memerhati serta mengkaji sejarah yang terdahulu bisa merubah sejarah yang baru yang lebih gemilang bagi melahirkan rasa tajdid itu terpahat dalam diri masing-masing. Ini kerana, pelajaran daripada sejarah membuatkan kita tidak melakukan kesalahan yang sama untuk kali kedua malah bagi mengelakkan kita melakukan sesuatu yang lebih teruk daripada itu. Apa yang perlu kita lihat, arus globalisasi sentiasa bergerak pantas membatasi kita. Dengan hanya melakukan pembaharuan inilah dapat menyekat seterusnya menghalakan diri kita membentuk sahsiah diri yang tidak hanyut dalam kekangan- kekangan dunia remaja masa kini.
Justeru itu sebagai mahasiswa segala sesuatu itu berakar umbi daripada hati atau jiwa yang suci. Pokoknya, dari dalaman dilontarkan kepada luaran atau secara zahirnya, itulah yang menampakkan sahsiah kita. Perasaan kehambaan itu amat penting kerana tanpa perasaan ini kita akan merasakan diri kita raja dalam diri kita sendiri. Akhlak yang rosak atau dalam erti kata lain perkara- perkara yang disukai nafsu akan merajai diri membuatkan kita hanyut dalam buaian dunia fana. Selain daripada itu, kesedaran kendiri membawa kita akur bahawa kita ada kelemahan, dan kelemahan itulah yang cuba diubah untuk menjadi yang lebih baik daripada itu. Kesedaran kita dalam melihat kelemahan diri bukanlah menunjukkan keburukan kita, tetapi itulah yang akan membuatkan kita ingin menjadi yang terbaik dalam golongan yang terbaik. Tambahan lagi dalam menjadi pelopor dalam gelombang tajdid, sifat melampau perlulah dijauhi. Melampau dalam pegangan serta pemikiran bukanlah membawa kita kepada sahsiah abadi, tetapi ianya sebenarnya membuatkan kita hanya berkhayal bahawa “akulah yang terbaik”. Oleh yang demikian segala perubahan yang dimulakan dari dalam hati mampu membentuk sahsiah dalam menentukan jati diri mahasiswa masa kini.
Wednesday, February 6, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment